Blog

Laporan oleh:

BEIRUT: Pengeboman bertalu-talu oleh tentera rejim Syria ke atas kawasan pemberontak di timur Ghouta menjejaskan operasi bantuan penting, sebuah kumpulan bantuan antarabangsa memberi amaran hari ini.

Menurut CARE International, serangan udara tanpa henti yang meragut lebih 220 nyawa dalam tempoh empat hari, menjadikannya amat sukar buat pekerja bantuan membantu anggaran 400,000 orang yang tinggal dalam daerah terkepung itu.

“Rakan kami agak sukar untuk bergerak, jadi bagaimana mereka boleh menyampaikan bantuan kepada penduduk yang terjejas?” soal pengarah komunikasi kumpulan itu untuk Syria, Joelle Bassoul.

Sebuah pusat komuniti disokong CARE di pinggir Douma antara bangunan yang dibom, memaksa mereka mendapat perlindungan bawah tanah.

Lebih 4,000 keluarga di Timur Ghouta hidup di tingkat bawah tanah dan kubu, menurut Save the Children.

Daerah itu, terletak di timur ibu kota Damsyik, sepatutnya menjadi satu daripada empat ‘zon gencatan senjata’ diisytiharkan tahun lalu dalam cubaan mengurangkan pertumpahan darah.

Namun rejim pimpinan Presiden Bashar al-Assad memperhebat pengeboman ke atas bandar di daerah itu dan turut menjalankan tentangan besar-besaran di zon lain, wilayah Idlib di barat laut.

Pegawai bantuan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) merayu gencatan senjata selama sebulan bagi membenarkan bantuan kemanusiaan dihantar dan penduduk yang sakit atau cedera dibawa keluar untuk menerima rawatan.

Namun semalam, Majlis Keselamatan gagal menyokong cadangan dikatakan sekutu rejim, Moscow, sebagai tidak realistik.

Bassoul memberi amaran, tanpa gencatan senjata, kesannya terhadap orang awam amat buruk.

“Jika tiada gencatan senjata, jika perkara ini tidak didengar, kita tidak dapat bayangkan skala bencana kemanusiaan yang berlaku,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *